
Pemilihan bahan binaan dan rekaan mampu menyeri ruang
TIDAK ramai yang menitikberatkan aspek pemilihan pintu rumah kerana beranggapan ia sekadar laluan yang menghubungkan bahagian dalam dan luar rumah. Hakikatnya, ramai tidak sedar, pelbagai gaya dan rekaan binaan pintu mencipta daya penarik ruang. Begitu juga dengan material berbeza yang digunakan untuk membentuknya, mampu mencipta estetika dan pesona gaya.
Pilihan reka bentuk tepat pintu sebenarnya memberi impak tersendiri terhadap hiasan dalaman terutama membabitkan hak bersendirian (privacy), pengurangan gangguan bunyi selain visual menarik hiasan dalaman kediaman.
Kediaman sempurna sewajarnya dilengkapi pintu namun persoalannya, adakah binaan sedia anda berfungsi dengan baik dan menepati cita rasa anda? Sesungguhnya, mengecewakan jika pintu yang dipasang tidak boleh dibuka-tutup dengan lancar akibat selak longgar gara-gara tidak sempurna pemasangannya. Jika ini, berlaku, ia harus dibaik pulih dan sudah tentu menelan belanja besar.
Yang nyata, pintu terutama yang dipasang di kediaman mempunyai pelbagai gaya dan bentuk. Namun, umum mengetahui yang paling popular adalah:
Yang menonjolkan seni dan kraf
Pintu diberi sentuhan moden.
Pintu jenis ini menekankan kehalusan seni pertukangan tangan kerana mementingkan butiran serta perincian selain dibentuk menggunakan bahan binaan semula jadi.
Di sini, tukang kayu menghubungkan rekaannya dengan gaya seperti bermain dengan rekaan lurus, menonjolkan permukaan panel rata namun dipastikan sarat kerawang serta berumpankan kemahiran pertukangan tangan berkualiti.
Rekaan membabitkan tiga panel iaitu satu panel lebar sama ada di bahagian atas atau bawah dengan dua atau tiga panel lagi menampilkan bentuk menegak.
Kolonial
Rekaan ini memberi penekanan kepada sentuhan Eropah atau masyarakat awal Inggeris. Binaannya boleh jadi berbentuk klasik dan anggun namun nampak tersergam. Biasanya, menampilkan binaan lapan panel kayu padu.
Kontemporari
Pintu ini mengemukakan aliran gaya paling popular dan mutakhir, seperti rekaan panel kaca, jeriji geometri mewah hiasan dan segelintir, mengetengahkan perincian ringkas dengan kemasan licau dan berkilat.
Rumah Ladang
Rekaan ini mengambil inspirasi gaya hidup klasik ladang Amerika dan penempatan Eropah zaman dulu. Lazimnya, menonjolkan bentuk empat segi diselangi panel lekuk tiga segi. Pendek kata, pintu jenis ini menggambarkan seni bina dan kehidupan ringkas masyarakat ketika itu.
Kusam
Pintu ini menyerlahkan ciri semula jadi kayu dengan rupa tekstur dramatik, berbonggol, berjalur halus namun beraneka warna.
Tradisional
Rekaan popular yang menggambarkan penghargaan terhadap cita rasa klasik. Menonjolkan binaan empat hingga enam panel kayu padu manakala panel kaca dianggap simbol gaya ini.
Victoria
Tema romantik yang menawarkan pilihan pelbagai. Sesetengah rekaan menonjolkan hiasan sarat, mengutarakan perincian seperti lengkung gerbang, rekaan panel berpusing-pusing manakala bingkainya mengabadikan nostalgia era kegemilangan Victoria.
Membaiki Engsel Pintu
Perkara biasa, engsel pintu kayu menggelending. Cuaca dan udara lembap dikatakan menjadi punca masalah ini. Pintu yang melengkung bingkainya mengakibatkan ia sukar dibuka-tutup. Ditambah, masalah udara lembap, keadaan pintu itu menjadi semakin longgar atau ketat jika digunakan berterusan.
Masalah ini jika berlaku, menyebabkan engsel atau kuncinya tidak kemas dan kejap sebagaimana sepatutnya. Jika sedikit terjejasnya, anda mungkin boleh membaikinya namun sekiranya melengkung teruk, tiada cara lain melainkan menggantinya dengan yang baru.
Pintu yang susah dibuka atau berat apabila ditarik menandakan ia melendut daripada sendi dan engselnya. Selain itu, ia mungkin berpunca daripada himpunan kotoran dan sisa cat yang melekat sekali gus menjadikannya tidak mudah dibuka-tutup. Ia boleh dibaiki dengan mengetatkan skru engsel selain mengikis sisi cat yang melekat pada pintu itu.
Manakala, pintu kayu sebaiknya dilindungi dengan barnis dan cat bagi mencecah lembapan yang mengakibatkan kulat sekali gus menjejaskan kayu. Engsel pintu yang longgar dibaiki dengan mengetatkan skrunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan